BERITA ARENA
London: Steven Gerrard menganggap skuad Piala Dunia England yang membariskan ramai pemain muda sebagai pasukan yang mampu menghadirkan gerun buat lawan.
Kapten England itu menyebut nama Ross Barkley, Raheem Sterling dan Luke Shaw sebagai antara pemain muda yang bakal menyerlah di Brazil pada temasya itu nanti.
“Saya harap mereka tidak akan gementar dan mampu bermain sepenuh hati di Brazil nanti,” kata Gerrard.
“Ramai pemain muda yang menyerlah musim ini dan saya yakin pengurus Roy Hodgson berharap aksi hebat yang dipamerkan itu dapat diteruskan di Brazil.” Gerrard menambah, beberapa pemain berpengalaman dalam skuad 23 pemain pilihan Hodgson itu perlu memainkan peranan untuk melegakan tekanan yang mungkin dihadapi pemain muda selain berusaha membimbing mereka.
Piala Dunia Brazil bakal menjadi pentas ketiga buat Gerrard dan kedua selaku kapten selepas dia menggantikan Rio Ferdinand yang cedera pada 2010.
“Bodoh kalau saya katakan kami pasti muncul juara,” kata pemain tengah Liverpool berusia 33 tahun itu.
“Apa yang boleh saya jamin ialah kami akan ke sana dan memberi persembahan 100 peratus. Itu saja.
“Semua pasukan yang bertanding mahu memburu gelaran. Apa yang boleh kami lakukan ialah bermain sebagai satu pasukan, bekerja keras dan mencari peluang untuk membuktikan sesetengah pendapat yang memperlekeh kemampuan kami tidak benar.” Perlawanan pertama England menentang Itali berlangsung di Manaus, berdekatan hutan Amazon pada 14 Jun, tetapi penjaga gol Joe Hart enggan menjadikan cuaca sebagai alasan untuk tidak mempamerkan persembahan sebenar.
“Cuaca di sana memang panas, tetapi kami perlu hadapinya sama ada suka atau tidak,” kata pemain Manchester City berusia 27 tahun itu.
“Ia tidak boleh dijadikan alasan. Ia hanyalah faktor cuaca. Saya akan ke sana dan cuba menang setiap perlawanan. “Jika menang semua perlawanan, sudah tentu kami juara. Kami tidak boleh menerima sebarang kegagalan.” Selain Itali, England yang diundi dalam Kumpulan D turun menentang Uruguay pada 19 Jun dan Costa Rica pada 24 Jun. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/20

No comments:
Post a Comment