BERITA ARENA
California: Sudah 12 tahun berlalu sejak penyerang Amerika Syarikat (AS) menjaringkan gol di Piala Dunia.
Jaringan Brian McBride ketika menentang Mexico pada pusingan kedua Piala Dunia Korea Selatan pada 2002 membantu AS melangkah ke suku akhir sekali gus melakar pencapaian terbaik sejak 1930.
Sejak itu, AS mengumpul lapan gol dalam Piala Dunia dengan tujuh daripadanya dihasilkan pemain tengah Landon Donovan, Clint Dempsey dan Michael Bradley selain jaringan sendiri pemain Itali.
“Saya tidak sedar dengan fakta itu,” kata Chris Wondolowski, antara penyerang yang mengintai tempat bersama skuad Piala Dunia sebelum sesi latihan kelmarin.
“Jika penyerang menjaringkan gol, kami akan gembira. Jika pertahanan menjaringkan hatrik, kami juga akan gembira.” Ketika AS melakukan persiapan untuk menghadapi kejohanan di Brazil bulan depan, tekanan untuk menjaringkan gol lebih terarah kepada Jozy Altidore dan Dempsey.
Altidore menjaringkan 21 gol untuk AS musim lalu dan menjadi pemain pertama menjaringkan gol dalam lima perlawanan antarabangsa berturut-turut. Begitupun, dia bergelut pada musim pertamanya bersama Sunderland di Liga Perdana apabila sekadar meraih dua gol dalam 38 perlawanan.
Ia menyamai persembahannya empat tahun lalu apabila hanya menjaringkan dua gol dalam 30 perlawanan ketika dipinjamkan semusim ke Hull. Dia berada dalam kesebelasan utama dalam semua perlawanan AS di Piala Dunia 2010 pada usia 20 tahun.
Pada 2011-12, dia menjaringkan 20 gol untuk AZ Alkmaar di Belanda dan menambah 31 gol musim berikutnya, melakar rekod untuk pemain AS bersama kelab Eropah. Ia membolehkan dia berpindah ke Liga Perdana dengan jumlah wang yang besar, tetapi disusuli kemarau jaringan sekali lagi.
“Kami memiliki ramai pemain yang mampu melaksanakan tugas itu,” katanya.
Jurulatih AS Jurgen Klinsmann menggugurkan Altidore dalam dua perlawanan kelayakan pada Oktober 2012 selepas timbul masalah di kem pada Mei-Jun disusuli persembahan buruk ketika menentang Jamaica. Klinsmann pernah mencabar Altidore kerana menyedari pemain itu mampu mempamerkan aksi lebih baik. - AP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/20

No comments:
Post a Comment