BERITA ARENA
Oleh Aziman Rosdi
.................................................................................................................
Kuala Lumpur: Tunku Ismail Sultan Ibrahim hanya mahu diberikan tempoh setahun untuk membuat perubahan dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sekiranya beliau mendapat kepercayaan ahli gabungan untuk menerajui badan induk bola sepak tanah air itu.
Perkara itu didedahkan Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa menerusi status yang dimuat turun dalam laman sosial Facebook miliknya semalam selepas beliau difahamkan mengadakan pertemuan dengan Tunku Ismail dengan beberapa wakil ahli gabungan FAM baru-baru ini.
Menurut kenyataan itu, Tunku Ismail yang bakal mencabar penyandang Presiden FAM Sultan Ahmad Shah dan anakandanya yang juga Timbalan Presiden Tengku Abdullah pada Mesyuarat Kongres Pemilihan ke-50, Ahad ini bersedia untuk melepaskan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) bagi memberikan komitmen terhadap FAM.
“Jika saya dipilih Presiden FAM, saya akan lepaskan jawatan di Johor,” katanya.
Malah ketika ditanya jika gagal melaksanakan tanggungjawab itu dengan tegas Tunku Ismail berkata: “Saya berhenti selepas setahun, beri laluan kepada yang boleh bawa perubahan.” Tunku Ismail yang membuat kejutan apabila menerima pencalonan ahli gabungan untuk bertanding merebut jawatan Presiden FAM bagi penggal 2014-2018 mula mendapat perhatian dalam arena bola sepak tempatan apabila berjaya menaikkan semula pasukan Johor Darul Ta’zim serta menyemarakkan minat penyokong skuad Harimau Selatan itu.
Namun hasratnya untuk menduduki kerusi tertinggi di Wisma FAM bukan mudah apabila pengaruh Sultan Ahmad Shah dilihat masih kuat malah Tengku Abdullah juga mahu mewarisi jawatan ayahandanya andai beliau mendapat lebih kepercayaan ahli gabungan.
Tunku Ismail Sultan Ibrahim
Annuar yang tidak layak bertanding mempertahankan jawatan timbalan presiden kerana masih menjalani hukuman penggantungan dua tahun enam bulan akibat melanggar Artikel 88 Statut FAM menyuarakan rasa puas hati dengan hasil pertemuan dengan Tunku Ismail itu.
“Tunku Ismail dengan ghairah bercakap mengenai bola. Visinya jelas, ideanya bernas. Saya yakin TMJ (Tengku Mahkota Johor) mampu merubah bola sepak Malaysia. Sayangnya saya tak boleh mengundi,” kata Annuar.
Seramai 39 perwakilan daripada 20 ahli gabungan akan diberikan hak untuk mengundi pada kongres Ahad ini bagi memilih barisan kepimpinan FAM untuk tempoh empat tahun lagi.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/20

No comments:
Post a Comment