BULETIN SETEMPAT
Jasin: Seorang pemandu bas sekolah nekad bergelut dengan peragut walaupun kakinya tersepit pada rantai motosikal sehingga penjenayah itu diberkas dalam kejadian di sekitar pekan ini, kelmarin.
Sebelum kejadian, mangsa A Charles, 29, dalam perjalanan ke sebuah bank sebelum dihampiri seorang lelaki menunggang motosikal Yamaha 125Z yang meragut rantai leher dipakainya, jam 11.25 pagi.
Menurut Charles, dia yang menunggang motosikal Honda EX5 didatangi seorang lelaki menaiki motosikal dari arah belakang yang terus memotongnya melalui sebelah kanan.
“Bagaimanapun, ketika motosikal kami beriringan, lelaki itu merentap rantai leher saya dan terus memecut laju motosikal ke arah jalan utama. Dalam keadaan terkejut saya mengejar dan menghimpit motosikal peragut itu menyebabkan kami hilang kawalan lalu terjatuh.
Peragut yang ditahan dibawa ke balai polis untuk siasatan.
“Saya nekad menerkam dan peragut yang cuba bangun untuk melarikan diri itu menyebabkan dia rebah semula sebelum mencekak lehernya sambil menjerit meminta tolong,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Menurutnya, peragut yang panik selepas melihat orang ramai mengerumuninya merayu dilepaskan sebelum seorang anggota polis berpakaian biasa datang lalu menahannya.
Charles berkata, biarpun kesakitan kerana kakinya tersangkut pada rantai motosikal peragut itu, namun dia nekad memeluk dan mencekak leher penjenayah itu sehingga polis tiba.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/22

No comments:
Post a Comment