BERITA ARENA
Lisbon: Malang terus menimpa penyerang Ricardo Quaresma apabila namanya terpaksa digugurkan daripada senarai akhir 23 pemain skuad Portugal ke Piala Dunia semalam.
Quaresma, 30, yang diketepikan daripada skuad 2006 dan 2010, berada dalam senarai awal 30 pemain minggu lalu namun dia tidak bernasib baik apabila namanya berada dalam kelompok tujuh pemain yang digugurkan jurulatih Paulo Bento.
Quaresma yang mewakili Porto buat kali kedua, turut beraksi dengan Barcelona, Inter Milan, Besiktas dan Al Ahli dari Emiriah Arab Bersatu dalam karier penuh kontroversi serta pernah dipinjamkan ke Chelsea.
Besiktas menamatkan kontrak tiga tahun enam bulan Quaresma apabila dia mencetuskan masalah dengan kelab Turki itu selepas bergaduh dengan pengurus Carlos Carvalhal.
Dengan nama jolokan ‘ahli silap mata’ atau ‘Harry Potter’ kerana memiliki teknik menggelecek yang hebat, Quaresma mewakili negaranya 35 kali dan tersenarai dalam skuad Euro 2008 serta 2012.
Penyerang, Nani (gambar) berjaya menempatkan diri dalam pasukan meskipun mengharungi musim hambar bersama Manchester United.
“Jurulatih pasukan kebangsaan mempunyai tanggungjawab besar dan tidak terkecuali daripada kritikan,” kata Bento.
“Saya perlu menerima apa saja pertikaian orang ramai mengenai keputusan saya.
“Nani memiliki karektor berbeza berbanding Quaresma.” Enam lagi pemain digugurkan adalah penjaga gol Anthony Lopes (Olympique Lyon), pertahanan Antunes (Malaga), Rolando (Inter Milan), pemain tengah Andre Gomes (Benfica) dan Joao Mario (Vitoria Setubal) serta penyerang Ivan Cavaleiro.
Skuad itu membariskan 11 pemain yang beraksi dalam kempen Piala Dunia 2010 dengan Portugal menjaringkan tujuh gol menentang Korea Utara sebelum disingkirkan oleh juara kejohanan, Sepanyol pada pusingan kedua. - Reuters
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/21

No comments:
Post a Comment