Wednesday, May 21, 2014

Buruan Ke-10 Real


BERITA ARENA

Madrid: Real Madrid bakal berdepan musuh setempat yang baru dinobat juara La Liga, Atletico Madrid pada final Liga Juara-Juara di Lisbon, hujung minggu ini dan Real dilihat terdesak untuk membawa pulang kejuaraan Eropah buat kali ke-10 sepanjang sejarah penubuhan kelab gergasi Sepanyol itu.

Sudah 12 tahun sejak Zinedine Zidane meledak jaringan yang dianggap tercantik dalam sejarah Piala Eropah dan itulah kali kesembilan dan terakhir menyaksikan Real menjulang kejuaraan.

Begitupun, sudah lebih 10 tahun sejak kelab membelanjakan lebih satu bilion euro untuk mendapatkan pemain seperti David Beckham, Cristiano Ronaldo dan Gareth Bale selain 11 pengurus di sepanjang tempoh berkenaan tetapi ‘La Decima’ atau gelaran ke-10 Piala Eropah masih belum berjaya diraih.

Kini, dalam penggal kedua selaku presiden Florentino Perez menaruh sepenuh kepercayaan kepada Carlo Ancelotti untuk merealisasikan impian itu selepas perjuangan mereka sebelum ini terkandas di separuh akhir saja.


Ancelotti mampu mengatasi Jose Mourinho selaku jurulatih pertama sejak Bob Paisley memenangi Piala Eropah tiga kali dan beliau pernah dua kali meraih gelaran berkenaan bersama AC Milan sebelum ini.

Jurulatih Itali itu pantas menyesuaikan diri dengan corak permainan Real dan yakin mereka mampu menjulang Piala Eropah musim ini.

Begitupun, beliau mengakui kecenderungan Real untuk mengutamakan Liga Juara-Juara mengakibatkan mereka kehilangan cengkaman di La Liga.

Kuasa yang mereka pamerkan di Eropah memang luar biasa dan anak buah Ancelotti membelasah juara bertahan Bayern Munich, 5-0 menerusi agregat untuk ke final.

Kejayaan memenangi Copa del Rey selepas menewaskan Barcelona, Mac lalu tidak membuatkan Ancelotti selesa sebaliknya beliau sedar masa depannya di kelab berkenaan bakal terjejas andai gagal membawa pulang Piala Eropah. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/21

No comments:

Post a Comment